GARIS PANDUAN PERMOHONAN :
Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030
LATAR BELAKANG
- Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah satu inisiatif kerajaan Negeri Perak di bawah Program Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memupuk keusahawanan dalam kalangan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas melalui pembangunan satu produk unik di setiap pusat dan institusi yang terlibat. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan, meningkatkan taraf hidup kumpulan B40, memperkasa potensi individu dan mewujudkan peluang ekonomi yang mampan dalam komuniti setempat.
- Pelaksanaan program ini diterajui oleh Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dengan kerjasama pusat atau institusi yang aktif dalam menghasilkan produk utama yang boleh diketengahkan dan juga dikomersialkan ke peringkat yang lebih tinggi. Produk tersebut adalah hasil usaha dalam kalangan para pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan para pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
- Ianya sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya peluang dan ruang diberikan samarata kepada semua pihak termasuk insan istimewa dan warga tua ini tanpa mengira latar belakang mahupun jantina. Golongan OKU dan warga emas turut berperanan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi Negeri Perak malah dengan kemudahan yang sentiasa dipertingkatkan oleh kerajaan dan pihak berwajib, mereka kini semakin cenderung mencipta pelbagai kejayaan dari segi akademik dan profesional.
OBJEKTIF PROGRAM
- Membangunkan Produk Golongan OKU dan Warga Emas: Menggalakkan penghasilan produk yang dapat dipasarkan oleh golongan ini. Membina satu produk unik yang berdaya saing di setiap PPDK, PAWE, dan PPKI.
- Meningkatkan Kemahiran: Memberikan latihan kemahiran kepada peserta yang menyokong perkembangan diri dan peningkatan kualiti hidup. Memperkasa kemahiran, kreativiti, dan produktiviti komuniti sasaran.
- Memberikan Pusingan Modal: Menyediakan bantuan modal dan pembelian barangan untuk meningkatkan ekonomi mereka.
- Menggalakkan Pembelajaran Sepanjang Hayat: Mengadaptasi pendekatan pembelajaran yang menyokong pengembangan pengetahuan dan kemahiran sepanjang hayat. Menggalakkan penyertaan OKU dan warga emas dalam aktiviti keusahawanan.
- Menyediakan platform pemasaran digital dan fizikal untuk produk.
- Menyokong kelestarian ekonomi sosial di peringkat komuniti.
SKOP PROGRAM
- Menyediakan PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN khusus untuk golongan OKU dan warga emas dalam bidang pertanian, kraf, dan perniagaan kecil.
- Membantu peserta mendapatkan MODAL PERMULAAN untuk memulakan perniagaan.
- Membeli BARANGAN YANG DIPERLUKAN (Mesin / Bahan Mentah) untuk menyokong pengeluaran produk mereka.
- Bekerjasama dengan pusat aktiviti dan komuniti untuk melaksanakan program ini.
KRITERIA PEMOHON / PENERIMA MANFAAT (OKU & WARGA EMAS)
- Kumpulan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK)
- Kumpulan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)
- Kumpulan Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
- Mempunyai dan menghasilkan produk
- Tujuan permohonan untuk meningkatkan kebolehan dan taraf hidup (Contoh program : Pembangunan Kemahiran/ Program Pembangunan Produk/ Pusingan Modal bagi pelaksanaan projek sediaada)
SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
- Penyertaan program ini perlulah dihebahkan kepada komuniti PPDK, PAWE dan PPKI di seluruh daerah Negeri Perak melalui agensi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
- Pemohon perlu memohon melalui pusat komuniti atau institusi secara berkumpulan BUKAN secara individu.
- Jumlah peruntukan yang diluluskan kepada setiap permohonan adalah antara RM5,000 hingga RM10,000 , bergantung kepada skala projek dan kelayakan. Bajet ini merangkumi kos bahan mentah awal, kos peralatan asas pengeluaran, kos pembungkusan asas dan kos pemasaran permulaan. (Peruntukan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Kelulusan bagi jumlah yang akan diluluskan)
- Peruntukan yang diterima oleh pemohon yang berjaya adalah bersifat ONE-OFF.
- Pemohon perlu mengisi borang permohonan seperti di Lampiran A dan menyediakan kertas kerja permohonan yang lengkap beserta perincian kewangan dan menghantar dokumen tersebut kepada agensi seliaan masing-masing atau kepada Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) sehingga selewat-lewatnya sebelum atau pada 30 Mei 2025 (Jumaat).
- PPDK dan PAWE melalui JKMN Perak
- PPKI melalui JPN Perak ATAU
- Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak)
- Seterusnya, permohonan yang layak akan ditapis (screening) oleh agensi seliaan masing-masing untuk ke sesi pembentangan (pitching) yang akan dinilai oleh para panel yang dilantik daripada sebahagian ahli mesyuarat.
- Sesi pembentangan (pitching) ini akan dibentangkan oleh agensi seliaan / pemohon. Sesi ini akan diurusetiakan oleh Sekretariat Pembangunan Wanita & Masyarakat Negeri Perak bersama 3 ahli panel dari agensi luar.
- Di peringkat akhir, senarai permohonan yang berjaya akan dibawa ke MESYUARAT JAWATANKUASA KELULUSAN yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak.
- Bagi permohonan yang lulus, mereka akan menerima surat setuju terima dan satu perjanjian diantara kerajaan negeri dan pihak pemohon.
- Penyaluran peruntukan yang diluluskan kepada institusi yang berjaya akan dibuat selepas segala dokumen lengkap diterima oleh urus setia.
- Setiap permohonan yang lulus adalah DIWAJIBKAN untuk menghantar laporan penuh pelaksanaan program kepada pentadbiran ini selepas 3 bulan program selesai dijalankan.
- Keputusan pemilihan adalah muktamad. Sebarang bentuk bantahan tidak akan dilayan.
STRATEGI PELAKSANAAN
- Pemilihan Produk
- Setiap pusat memilih satu produk utama untuk dibangunkan.
- Penilaian berdasarkan kemudahan penghasilan, kos bahan mentah, potensi pasaran, dan kesesuaian dengan keupayaan peserta.
- Latihan dan Bimbingan Keusahawanan
- Bengkel pembangunan produk dan asas keusahawanan.
- Bengkel kewangan asas untuk mengurus kos dan keuntungan.
- Sesi motivasi dan pembinaan keyakinan diri.
- Pembangunan Penjenamaan Produk
- Setiap produk mempunyai nama, logo dan label rasmi.
- Pemasaran Produk
- Penyertaan dalam karnival, ekspo, dan jualan digital.
- Penyenaraian produk dalam katalog digital E-Juwita dan platform e-dagang.
- Rolling Capital dan Sokongan Modal (beserta resit pembelian)
- Setiap pusat layak memohon geran permulaan dalam bentuk bantuan bahan mentah, peralatan kecil atau modal pusingan.
- Jumlah geran yang diperuntukkan kepada setiap pusat adalah antara RM5,000 hingga RM10,000 , bergantung kepada skala projek dan kelayakan.
- Geran ini bertujuan membantu pusat memulakan pengeluaran produk dan menstabilkan aliran modal pusingan.
PENUTUP
Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 adalah langkah ke hadapan untuk menjadikan warga OKU dan warga emas sebahagian daripada ekonomi produktif negeri. Melalui latihan, bimbingan dan peluang pemasaran, mereka akan mampu membina keyakinan, menjana pendapatan sendiri, dan meningkatkan taraf hidup secara berkelanjutan.
Disediakan Oleh
Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak)